Akaun 3 KWSP: Nasib 99,335 pencarum masih belum terbela – PGIRM
Kerajaan perlu juga melihat secara khusus masalah dihadapi pencarum dalam kesempitan ketika ini kerana terbeban dengan masalah hutang tertunggak dan keperluan untuk kelangsungan hidup

KUALA LUMPUR 21 Nov – Kemudahan Akaun Fleksibel atau Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu bersifat untuk keperluan mendesak ketika pencarum menghadapi kecemasan bukan disalahgunakan untuk perkara tidak penting.
Timbalan Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Mohamad Fazil Ibrahim berkata, pengeluaran yang dimaksudkan kecemasan itu perlu semata-mata untuk kecemasan kerana KWSP itu sendiri fungsinya bukanlah institusi perbankan.
“Dalam konteks ini, KWSP harus menetapkan syarat, malah saya yakin walaupun dinamakan pengeluaran kecemasan ia akan ada syarat khusus. Cadangan untuk mengelak pencarum menyalahgunakan pengeluaran kecemasan Akaun 3 ini ialah dengan menetapkan syarat seperti dokumen sokongan sebagai bukti kecemasan dan sebagainya.
“Saya yakin KWSP juga memikirkan perkara ini kerana ia pastinya akan disalah gunakan jika kebenaran pengeluaran diberikan secara sesuka hati,” katanya.
Beliau mengulas mengenai jangkaan kerajaan untuk melaksanakan Akaun Fleksibel pada April tahun depan dengan perincian mekanisme pelaksanaannya akan diumumkan Februari depan.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazil berkata, PGIRM tidak menghalang pelaksanaan Akaun 3 berkenaan, namun kerajaan perlu menyelesaikan kemelut 99,335 pencarum terkesan yang masih bergelut meneruskan kelangsungan hidup.
“Akaun Fleksibel ini sebenarnya elok untuk jangka masa panjang akan datang dan bukanlah penyelesaian atau alternatif kepada tuntutan pengeluaran KWSP bersasar seperti diperjuangkan PGIRM dan pencarum yang terkesan selama ini.
“Adakah Akaun 3 Fleksibel ini dapat membantu golongan ini atau tidak dan adakah terma kecemasan itu hanya tertumpu sekiranya ada pandemik akan datang saja atau dibenarkan untuk kelangsungan hidup untuk golongan masih hilang pekerjaan dan terbeban masalah hutang?
“Jadi, kerajaan perlu juga melihat secara khusus masalah dihadapi pencarum dalam kesempitan ketika ini kerana terbeban dengan masalah hutang tertunggak dan keperluan untuk kelangsungan hidup,” katanya.
Katanya, PGIRM tetap berpendirian sama sekiranya Akaun 3 itu mahu dilaksanakan, selesaikan dahulu keperluan 99,335 pencarum itu dengan pengeluaran KWSP bersasar atau setidak-tidaknya kebenaran pengeluaran Akaun 3 itu memberikan keutamaan kepada golongan pencarum ini.
Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, perincian mengenai Akaun Fleksibel itu akan diperjelaskan kepada pencarum selepas KWSP mengumumkan agihan dividen, Februari tahun depan.
Katanya, buat masa ini organisasi atau pihak berkaitan masih boleh memberikan pandangan mereka kepada Kementerian Kewangan dan KWSP mengenai pelaksanaan Akaun 3. – Harian Metro