Akaun KWSP ketiga akan dilaksanakan bermula April tahun depan
Kementerian Kewangan juga akan mengumumkan secara terperinci berkenaan akaun KWSP ketiga.

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Akaun ketiga ataupun akaun flesibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mula dilaksanakan pada April 2024, kata Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan.
“Pada Februari 2024, akan diumumkan dividen bagi akaun KWSP dan selepas itu Kementerian Kewangan akan mengumumkan kaedah lebih terperinci mengenai akaun fleksibel yang juga akaun nombor tiga.
“Organisasi berkaitan boleh memberikan pandangan mengenai akaun fleksibel ini dan mereka boleh menulis kepada Kementerian Kewangan dan juga KWSP,” katanya selepas merasmikan mesyuarat lembaga pengarah dan Seminar Persatuan Keselamatan Sosial Asean (ASSA) ke-40.
Beliau berkata Kementerian Kewangan sedang meneliti perkara itu yang diumumkan perdana menteri dalam Belanjawan 2024.
Bagaimanapun, katanya masih terdapat desakan pelbagai pihak membenarkan pengeluaran simpanan KWSP bagi tujuan kecemasan.
“Maka, kami akan membuat formula baharu, iaitu akaun ketiga. Jadi, perinciannya kemudianlah. Cadangannya bermula April tahun depan.” — Xklusif