Akta Anti Lompat Parti ada kelompangan, perlu ditambah baik
Perkara itu diakui oleh MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

KUALA LUMUR 12 Nov. – Akta Anti Lompat Parti perlu ditambah baik kelompangannya bagi mengatasi kejanggalan yang berlaku apabila empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menukar sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata insiden empat Ahli Parlimen PN menukar sokongan baru-baru ini itu sedang menguji kejituan pelaksanaan akta berkenaan.
“Adalah amat janggal jika (Ahli Parlimen) pembangkang menyatakan sokongan kepada kerajaan, namun ia tidak membawa kesan kepada kedudukan kerusi mereka.
“Adalah janggal juga jika seseorang Ahli Parlimen pembangkang yang berlawanan dengan parti mereka, tetapi pada masa sama masih berada dalam kelompok pembangkang.
“Oleh itu, kejanggalan berkenaan perlu dilihat semula melalui pindaan tertentu. Akta Anti Lompat Parti perlu diperhalusi semula kerana sebelum ini kita tidak pernah berhadapan situasi sebegini, ia perkara baharu, maka saya harap akta ini akan diperbaiki atau dipinda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian tauliah kepada Veteran UMNO di Pejabat Veteran UMNO Pontian, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan, menggesa supaya Akta Anti Lompat Parti dikaji semula berikutan terdapat kelemahan susulan tindakan empat Ahli Parlimen parti itu yang menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri, namun kekal bersama parti.
Empat pemimpin terbabit ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.
Ditanya bila waktu sesuai bagi penambahbaikan Akta Anti Lompat Parti itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa.
“Semua akta termasuk Perlembagaan boleh dipinda pada bila-bila masa jika ada keperluan,” katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I berkata, penambahbaikan serta pindaan terhadap Akta Anti Lompat Parti itu juga penting bagi mengelakkan kejanggalan berlaku antara Ahli Parlimen yang menukar sokongan serta parti lama yang dinaungi.
“Adalah amat janggal apabila ada Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan kita (parti), tetapi kita tidak dapat pecat dia dan hanya boleh digantung sahaja.
“Ini kerana memecat Ahli Parlimen yang menukar sokongan akan menyebabkan parti berkenaan kehilangan kerusi dan Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan mengikut Akta Anti Lompat Parti,” katanya. — Berita Harian