Berita

Ali Baba punca rasuah, akta khusus akan diperkenalkan

Antara contoh amalan Ali Baba adalah perniagaan dimiliki rakyat tempatan tetapi disewakan kepada orang asing.

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Kerajaan Perpaduan akan mengambil inisiatif untuk memperkenalkan satu akta khusus dan undang-undang Anti-Ali Baba yang semakin membarah dalam negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perangkaan dasar Anti-Ali Baba itu amat penting memandangkan negara kehilangan sekitar RM17 bilion hingga RM18 bilion kesan daripada amalan berkenaan.

Jelas beliau, antara contoh amalan Ali Baba adalah perniagaan dimiliki rakyat tempatan tetapi disewakan kepada orang asing.

“Perbuatan ini wujud dalam perolehan projek, lesen perniagaan, subsidi, permit dan lain-lain. Bercakap kosong bukan lagi satu pilihan.

“Cara Kerajaan Perpaduan adalah dengan menggunakan kaedah dasar dan strategi perundangan dan proses ini sedang berjalan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman X beliau hari ini.

Rafizi berkata, amalan tersebut juga menyebabkan kos projek yang sepatutnya murah, menjadi lebih mahal memandangkan permintaan komisen.

Jelas beliau, amalan itu perlu dibanteras kerana menjadi satu daripada punca rasuah serta menyebabkan ketirisan kepada ekonomi negara.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan, kerajaan dalam proses merangka dasar anti-Ali Baba bagi menangani kesan negatif budaya itu terhadap ekonomi.

Jelas Perdana Menteri, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara akan mengkaji, merangka dasar serta strategi perundangan bersesuaian bagi membanteras kegiatan berkenaan. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button