Aliran trafik tinggi di lebuh raya
Perkara itu susulan ramai yang ambil kesempatan pulang ke kampung halaman sempena cuti panjang.
KUALA LUMPUR 11 Nov. – Aliran trafik tinggi dilaporkan di beberapa laluan di lebuh raya utama sejak pagi tadi berikutan pertambahan jumlah kenderaan.
Ia susulan ramai yang mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman atau bercuti sempena hari kelepasan am perayaan Deepavali esok.
Menurut laman rasmi X Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), aliran trafik tinggi dilapor di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah timur iaitu sebelum Plaza Tol Gombak selain di Kilometer (KM) 33.8 sehingga KM 77.2 (Gombak ke Genting Sempah) setakat jam 8 pagi tadi.
Aliran trafik turut perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS-E2) iaitu dari arah Bangi ke Nilai dan Seremban ke Senawang.
“Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) juga mencatat aliran trafik perlahan dari Bandar Serenia ke Nilai dan Putrajaya ke Bandar Gamuda Cove.
“Aliran trafik perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS-E1) arah utara iaitu Ipoh Utara ke kawasan rehat dan rawat (RnR) Sungai Perak, Slim River ke Sungkai dan Tapah ke Gopeng,” katanya.
LLM menerusi laporan di laman X juga memaklumkan, trafik perlahan dari KM 120.9 hingga KM 123.55 arah timur berikutan laluan kontra diaktifkan di lokasi.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman X di http://www.twitter.com/LLMtrafik. — Xklusif