Amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya hingga Jumaat
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di seluruh Kelantan, Terengganu, daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang hingga Jumaat ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) serta beberapa kawasan di Pahang melibatkan Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin diramal mengalami hujan lebat berterusan tahap buruk bagi tempoh sama.
Hujan berterusan tahap waspada pula dijangka melanda Raub, Bentong, Temerloh dan Bera di Pahang; Pulau Pinang; Kedah (Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu) serta Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar).
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor; Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat di Sabah hingga 29 Nov ini.