Berita

Amaran hujan tahap waspada di Pantai Timur hingga Sabtu

Cuaca buruk di Kelantan dijangka di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai

KUALA LUMPUR 23 Nov -Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap waspada sehingga Sabtu di seluruh Terengganu, Kuantan di Pahang selain beberapa kawasan di Kelantan.

METMalaysia berkata, cuaca buruk di Kelantan dijangka di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Sementara itu, katanya, amaran hujan lebat peringkat kuning (waspada) untuk seluruh Perlis dan Pulau Pinang selain beberapa daerah di Kedah dan Perak kini ditamatkan.

“Amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Katanya amaran hujan berterusan tahap buruk pula dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh enam jam.

“Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button