Politik

Ambil Iktibar PRU14, Pengundi Kini Lebih Matang – Jamil Khir

JERAI, Nov 14 — Pengundi di negeri ini dilihat lebih matang dan terbuka apabila didekati calon-calon Barisan Nasional (BN) namun pilihan mereka bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini masih sukar diramal.

Demikian kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang juga calon BN di Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata pihaknya melihat sifat kematangan yang tinggi dalam kalangan pengundi selepas masing-masing mengambil ikhtibar daripada pengalaman PRU14 lalu.

Katanya, dalam tempoh minggu pertama berkempen ini BN menerima reaksi yang positif daripada pengundi-pengundi berbanding ketika berkempen pada PRU14.

“Pengundi pada PRU15 ini tidak menunjukkan reaksi sama ada ‘ya’ atau ‘tidak’ kepada kita tetapi ketika kita buat ‘walkabout’ dan edarkan risalah kita, mereka menerimanya dengan baik.

“Apabila kita bersalaman dengan mereka, mereka akan jawab ‘ok’  atau ‘inshallah’ dan tidak  menunjukkan sebarang reaksi penerimaan atau penolakan yang ketara.

“Cuma ada segelintir sahaja, apabila kita nak serahkan risalah, mereka menolak, tak mahu terima, tapi bagi saya itu adalah suatu yang biasa dihadapi mana-mana calon yang berkempen,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Tambahnya, sebagai calon BN di Jerai yang sebelum ini pernah menyandang kerusi indi parlimen tersebut, ada juga pihak yang mempersoalkan dimana beliau selepas tewas pada PRU14 lalu.

“Jawapan saya, bila dah kalah ni, kalau saya masih masuk kampung bersalaman dan berjumpa dengan semua orang nanti dikatakan gila jawatan dan gelaran pula,” jelasnya.

Katanya, cara perbincangan dan terjahan daripada pengundi di sini, kita boleh faham bagaimana pola pemikiran mereka.

“Tidak mustahil, mandat akan diberikan semula kepada kita kerana pengundi pernah berasa tertipu dengan janji-janji Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Inshallah saya yakin, PRU14 telah memberi panduan dan pengajaran untuk mereka memilih BN semula pada PRU15,”katanya.

Untuk rekod, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pernah memenangi kerusi Parlimen Jerai pada PRU13 dengan menewaskan penyandangnya, Mohd Firdaus Jaafar dari Pas dengan majoriti sebanyak 1,196.

Artikel Berkaitan

Back to top button