Amirudin sambung khidmat Menteri Besar Selangor
Amirudin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor, hari ini

KLANG 21 Ogos – Teka teki siapa yang akan menjadi Menteri Besar Selangor akhirnya terjawab apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sekali lagi dilantik memengang jawatan itu dalam satu istiadat di Istana Alam Shah, hari ini.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta pengurniaan Surat Cara Lantikan diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Istiadat itu disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Amirudin turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu beliau penuhi dan patuhi sepanjang memegang jawatan itu.
Beliau turut melafazkan untuk bersedia ditimpa bencana diturunkan Allah SWT serta daulat Sultan Selangor jika melanggar sumpah sebagai Menteri Besar.
Amirudin memegang jawatan Menteri Besar sejak 2018 dan adalah Menteri Besar termuda dalam sejarah kerajaan negeri apabila dilantik ke jawatan itu pada usia 38 tahun pada 2018.
Beliau berjaya mempertahankan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos lalu dengan jumlah undi 19,678 meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN), Hanif Jamaluddin dan calon Bebas, Suman Gopal.