Berita

Amphetahime, ganja, opiat jadi pilihan tertinggi penagih

Ketagihan dadah juga meningkat 30% berbanding tahun sebelumnya

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Ketagihan dadah meningkat hampir 30% berbanding tahun sebelumnya, dan tiga teratas dadah paling banyak disalahgunakan ialah amphetamine, ganja dan opiat, kata Kementerian Dalam Negeri.

Timbalan Ketua Setiausahanya (Keselamatan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, ini adalah dapatan daripada statistik tangkapan yang dijalankan polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata, polis dan AADK mengesan 118,820 penagih dan penyalahguna dadah pada separuh pertama tahun ini – peningkatan sebanyak 27% daripada tahun sebelumnya.

“Mereka sedang menerima rawatan dan pemulihan mandatori dan sukarela di AADK, Kementerian Kesihatan atau fasiliti pemulihan dadah swasta di seluruh negara,” kata Abdul Halim, yang mewakili Menteri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Simposium Kebangsaan Sains Penagihan Dadah semalam.

Daripada angka tersebut, amphetamine adalah dadah yang paling banyak disalahgunakan iaitu sebanyak 69.9%, diikuti oleh opiat sebanyak 25.7% dan ganja (2.8%).

“Terdapat juga peningkatan lebih 100% (penggunaan) melibatkan dadah di bawah kategori pil psikotropik iaitu benzodiazepin, erimin 5 dan dormicum,” katanya.

Pada masa sama, tambah Abdul Halim, Laporan Pemantauan Dadah Asean 2021 menunjukkan Malaysia mempunyai 377 penagih dadah bagi setiap 100,000 penduduk, iaitu yang tertinggi di rantau ini.

“Filipina mempunyai kadar ketagihan paling rendah iaitu dua orang bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya.

Laporan itu, katanya, turut menunjukkan Thailand mencatatkan rawatan tertinggi bagi amphetamine, diikuti Malaysia, Vietnam, Indonesia, Laos, Filipina dan Singapura.

“Rawatan untuk penyalahgunaan opiat adalah yang tertinggi di Malaysia, diikuti Myanmar dan Thailand.

“Bagi ganja, rawatan untuknya adalah yang tertinggi di Thailand, diikuti oleh Malaysia dan Indonesia,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button