Anak ahli politik didakwa menyamar jadi Azam Baki
Ryan Phillip Among, 29, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan utama dan dua pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan hakim Jason Juga

KOTA KINABALU 10 Jan – Anak seorang ahli politik didakwa hari ini melakukan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini.
Tertuduh, Aries Ryan Phillip Among, 29, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan utama dan dua pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan hakim Jason Juga.
Bagi pertuduhan pertama, Aries didakwa menipu Mohd Zaidi Abdullah, 60, dengan menyamar sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya melalui hantaran WhatsApp pada jam 11.46 pagi 24 Jun 2023 di sebuah rumah di Perumahan Desa Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Jalan Kepayan, di sini.
Aries didakwa meminta Mohd Zaidi memasukkan wang sebanyak RM8,000 ke satu akaun bank milik orang lain untuk sumbangan lembu korban.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu Mohd Zaidi dengan menyamar sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki melalui hantaran WhatsApp pada jam 11.22 pagi, 30 Jun 2023 di lokasi yang sama.
Dia didakwa meminta Mohd Zaidi untuk memasukkan wang berjumlah RM27,000 sebagai derma untuk menghadiri konvokesyen anak lelaki Azam di Sydney, Australia, selain RM14,300 lagi untuk tujuan pinjaman ke dalam dua akaun berbeza.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan pilihan yang pertama dan kedua, Aries didakwa menipu Mohd Zaidi melalui hantaran WhatsApp dan memintanya memasukkan wang berjumlah RM49,300 ke tiga akaun bank berlainan.
Kedua-dua pertuduhan pilihan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Februari depan untuk pengurusan kes, manakala Aries dikenakan jaminan RM40,000 dengan RM5,000 sebagai deposit dan seorang penjamin tempatan.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, tidak mengganggu kes pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Izzati Sapifee, manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Amirul Amin. – Berita Harian