Anak durjana tikam ibu, bapa hingga maut di Sungai Penchala
Suspek ditemukan polis kira-kira 2 jam selepas dipercayai melakukan pembunuhan.

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Sepasang warga emas masing-masing berusia antara 72 hingga 82 tahun maut selepas ditikam anaknya sendiri di sebuah rumah di Jalan Penchala Hilir 6, Sungai Penchala pada malam tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima panggila berhubung pergaduhan antara suspek dan ibu bapanya kira-kira pukul 7.43 malam.
“Akibat kejadian itu, sepasang suami isteri ditemukan terbaring di lantai rumah dipercayai dibunuh dengan tikaman.
“Suspek iaitu anak mangsa berusia 42 tahun kemudian telah melarikan diri ke dalam hutan berhampiran lokasi kejadian,” katanya.
Menurut Amihizam, pihaknya bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kemudian telah melakukan gerakan memburu suspek.
Jelasnya, suspek kemudian telah ditangkap kira-kira pukul 10.30 malam tadi di bawah terowong Penchala Lebuh Raya Sprint menghala ke Kuala Lumpur.
“Semakan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod kes jenayah dadah dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. — Xklusif