Berita

Anak Tun M diperintah isytihar harta

SPRM dalam kenyataan berkata, Mirzan yang juga ahli perniagaan telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 9.30 pagi Rabu, untuk membantu siasatan

PUTRAJAYA 18 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan perintah notis kepada anak bekas Perdana Menteri iaitu Mirzan Mahathir yang mengkehendakinya isytihar aset dalam tempoh 30 hari.

SPRM dalam kenyataan berkata, Mirzan yang juga ahli perniagaan telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 9.30 pagi Rabu, untuk membantu siasatan.

“Satu perintah notis telah disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

“Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” kata kenyataan itu pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Menurut kenyataan itu, SPRM telah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

“Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan.

“SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan,” kata kenyataan itu. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button