Berita

Anggota bertugas di lapangan guna teknologi terkini elak pelanggaran SOP – Maritim Malaysia

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) giat melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) selain turut dalam pelaksanaan ke arah pensijilan MS ISO 37001 Anti Bribery Management System (ABMS).

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berkata, langkah yang dilakukan Maritim Malaysia adalah salah satu daripada usaha Agensi ini bagi memastikan penguat kuasa Maritim Malaysia melaksanakan tugas dengan penuh bertintegriti khususnya ketika menjalankan operasi di perairan negara.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim

Jelas Saiful, bagi memastikan tiada pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP), penguat kuasa yang melaksanakan tugas di lapangan akan memakai kamera badan (body worn camera) ketika bertugas.

Tambah beliau, sebagai permulaan ia digunakan oleh penguat kuasa Maritim Malaysia yang mengiringi wang milik Bank Simpanan Nasional (BSN) ke Pulau Tioman sebelum pelaksanaannya diperluaskan setelah proses perolehan diluluskan Kerajaan.

Cospas Sarsat

Saiful berkata demikian bagi menyahut hasrat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail yang menekankan agar jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan penerapan integriti kepada seluruh warga jabatan masing-masing ketika beliau berucap sempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Setiausaha KDN, Datuk Haji Ruji Haji Ubi, Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha KDN serta ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian.

Mobile Surveillance Unit (MSU)

Mengulas lanjut mengenai hasrat Menteri Dalam Negeri untuk setiap jabatan di bawah KDN menggunakan teknologi dalam operasi, Datuk Saiful memaklumkan Maritim Malaysia telah menggunakan Mobile Surveillance Unit (MSU) atau Unit Pengawasan Bergerak, yang berfungsi sebagai radar bergerak untuk mengesan aktiviti mencurigakan di perairan negara sekaligus menjadi aset pelengkap pengawasan pantai kepada Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) sedia ada.

Saiful juga berkata, Maritim Malaysia turut mengoperasikan sistem Cospas Sarsat sejak 2015 melalui Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) yang mampu menerima isyarat kecemasan dari pelbagai jenis beacon.

Terdahulu Perhimpunan Bulanan KDN kali ini turut diserikan dengan Pertandingan Akhir IKON Belia KDN Tahun 2024 serta Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang, sebagai persediaan menyambut Hari Kebangsaan ke-67.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button