Berita

Anggota penyelam TLDM meninggal dunia ketika operasi Salvaj KD Pendekar

Seorang anggota penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disahkan meninggal dunia ketika melaksanakan operasi salvaj untuk menyelamatkan bangkai Kapal Diraja (KD) Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi semalam.

TLDM dalam kenyataan semalam memaklumkan, mangsa yang meninggal ialah Penyelam Ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA), Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa.

Jelas TLDM, Lembaga Siasatan Khas telah ditubuhkan bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Sultan Ismail, Johor untuk bedah siasat dan akan dibawa ke Lahad Datu, Sabah untuk pengebumian.

“TLDM akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan disalurkan kepada keluarga Allahyarham dalam menghadapi dugaan ini.

“TLDM menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan golongan yang beriman,” jelas kenyataan berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan KD Pendekar tenggelam di perairan Tanjung Penyusop selepas mengalami kebocoran dipecayai akibat terlanggar objek bawah air pada 25 Ogos lepas.

Bagaimanapun, usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal itu tenggelam.

Sebelum ini, tular di media sosial, satu video yang memaparkan detik-detik cemas 39 kru Kapal Diraja (KD) Pendekar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diselamatkan selepas sebahagian kapal itu tenggelam akibat mengalami banjir besar dan kebocoran.

Insiden yang berlaku kira-kira 12 tengah hari itu terjadi di kedudukan dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor itu.

Difahamkan, kesemua 39 kru kapal yang berada untuk penugasan operasi pada jam 12 tengah hari itu berdepan detik cemas apabila kadar air masuk dengan laju dan parasnya berada di catwalk selepas dipceryai berlaku pelanggaran dengan objek bawah air.

“Kebocoran mula dikesan di bilik jentera kapal sebelum merebak dengan cepat dan keadaan menjadi tidak terkawal. Bagaimanapun, semua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.

“Fokus utama TLDM sekarang adalah untuk melaksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal berkenaan,” memetik kenyatan TLDM yang dikeluarkan pada Ahad.

Susulan kejadian itu, lembaga siasatan khas telah ditubuhkan dengan kadar segera oleh TLDM untuk mengenal pasti punca kejadian yang terjadi.

KD Pendekar yang merupakan kapal perang jenis pembinasa laju, telah dibina oleh Karlskrona Varvet Shipyard di Sweden dan dilancarkan pada 11 Nov 1978 sebelum ditauliahkan pada 27 Julai 1979.

Artikel Berkaitan

Back to top button