Berita

Anggota polis disyaki rogol pelajar asing di Ampang

Mengikut aduan kejadian dipercayai berlaku pada 10 malam apabila suspek menahan pengadu bersama rakan lelakinya di Bukit Ampang View

KUALA LUMPUR 11 Jan – Dua anggota polis direman bagi membantu siasatan dakwaan merogol seorang pelajar kolej warga asing dan rompakan berkumpulan di Ampang, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata mengikut aduan kejadian dipercayai berlaku pada 10 malam apabila suspek menahan pengadu bersama rakan lelakinya di Bukit Ampang View.

Katanya, dua suspek kemudian membawa pengadu dan rakannya ke tempat berasingan.

“Dalam kejadian itu, salah seorang daripada suspek telah bertindak merogol pengadu perempuan.

“Pengadu lelaki dibawa ke bank kerana perlu menjelaskan bayaran diminta kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan.

Hussein berkata susulan aduan diterima pegawai dan anggota daripada bahagian siasatan jenayah telah menahan suspek yang ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376, 395 serta 397 Kanun Keseksaan.

Tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pegawai serta anggota terbabit dalam kes jenayah, selain memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03 4289 7222 bagi membantu siasatan,” katanya. – FMT

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button