Berita

Angkara ‘Sarjan Tan’, peniaga kedai runcit rugi hampir RM1 juta

Mangsa yang merupakan lelaki berusia 50-an.

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Seorang peniaga kedai runcit kerugian RM922,300.87 akibat diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau “phone scam” yang menyamar sebagai polis bulan lalu.

Ketua Polis Alor Gajah, Arshad Abu berkata, mangsa yang merupakan lelaki berusia 50-an itu menerima panggilan telefon daripada seorang suspek menyamar sebagai “Sarjan Tan” yang mendakwa anggota polis Perak pada awal Disember lalu.

“Suspek yang tinggal di Simpang Ampat mendakwa terdapat kes melibatkan pengurus sebuah bank yang telah berhenti kerja, melakukan aktiviti penipuan menggunakan akaun bank mangsa.

“Mangsa bagaimanapun menafikan terlibat kes tersebut, namun Sarjan Tan meminta lelaki terbabit mengikut arahannya sekiranya tidak mahu ditangkap,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, antara arahan suspek ialah mangsa meninggalkan kad bank ATM dan nombor akaun bank miliknya tanpa perlu berjumpa suspek di sebuah lokasi di Simpang Ampat di sini pada 20 Dis lalu.

Pada 3 Jan lalu, katanya, mangsa diarahkan membuka cek atas nama sebuah syarikat suspek berjumlah RM420,000 dan memasukkan cek berkenaan ke mesin cek sebuah bank di daerah itu.

Arshad berkata, ketika mangsa menyemak akaun banknya di cawangan bank berhampiran enam hari kemudian, beliau mendapati beberapa transaksi pemindahan wang dari akaunnya ke akaun tidak dikenali berjumlah RM502,300.87 antara 21 Dis hingga 8 Jan lalu.

Pada 9 Jan lalu, mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon memintanya membuat transaksi pemindahan wang, namun tidak diturutinya kerana menyedari ditipu.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Simpang Ampat kelmarin dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. — FMT

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button