Anjing liar kacau pelajar sudah ditangkap
Haiwan berkenaan juga mengganggu penduduk yang ingin bekerja dan jemaah yang hendak menunaikan solat Subuh di Masjid Jamek Kayu Ara Pasong.

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Anjing liar yang mengancam keselamatan pelajar yang berulang-alik ke sekolah di Pekan Kayu Ara Pasong, Pontian, Johor yang tular di media sosial sudah ditangkap pihak berkuasa tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan berkata, aduan berkaitan gangguan anjing liar itu dimaklumkan kepada Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).
“Aduan yang dikemukakan mendapat perhatian segera daripada Yang Dipertua MPPn Mohd Ezzuddin Sanusi dan saya dimaklumkan anjing liar itu sudah ditangkap.
“Saya juga meminta pemantauan berterusan dilakukan kerana bimbang dengan ancaman anjing liar di kawasan pekan yang boleh menggugat keselamatan penduduk.
“Malah saya berterima kasih kepada penduduk yang mengambil inisiatif merakam video berkaitan kebimbangan peniaga di pekan ini,” katanya ketika dihubungi.
Menerusi video tular pada Ahad lalu memaparkan kumpulan anjing liar mengganggu pelajar sekolah yang berbasikal di kawasan pekan berkenaan.
Anjing liar berkenaan mengejar pelajar tersebut, tetapi pelajar itu mengayuh dengan laju untuk mengelakkan digigit anjing.
Haiwan berkenaan juga mengganggu penduduk yang ingin bekerja dan jemaah yang hendak menunaikan solat Subuh di Masjid Jamek Kayu Ara Pasong.
Penduduk menerusi video berkenaan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera dengan menangkap anjing-anjing itu bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini kepada orang ramai. — Berita Harian