Berita

Anjur program benar-benar perlu sahaja – KSN

Arahan itu menggariskan antara langkah bagi memastikan perbelanjaan dibuat secara optimum ialah penganjuran acara, majlis, keraian rasmi kerajaan, mesyuarat, persidangan, seminar serta bengkel dihadkan bagi program benar-benar perlu saja

KUALA LUMPUR 19 Okt – Kerajaan mengeluarkan arahan baharu kawalan perbelanjaan awam oleh semua kementerian, jabatan dan agensinya, sebagai usaha penjimatan serta mengelakkan pembaziran sumber kewangan awam.

Arahan itu menggariskan antara langkah bagi memastikan perbelanjaan dibuat secara optimum ialah penganjuran acara, majlis, keraian rasmi kerajaan, mesyuarat, persidangan, seminar serta bengkel dihadkan bagi program benar-benar perlu saja, dan disaran diadakan di premis atau pusat/institusi latihan awam (ILA).

Selain itu, sumber utiliti meliputi elektrik dan air serta peralatan pejabat digunakan secara optimum, di samping mengelakkan pembaziran penyediaan makan dan minum ketika mesyuarat atau program.

Seterusnya, menggalakkan mesyuarat diadakan secara dalam talian atau persidangan video bagi mengurangkan perbelanjaan logistik, dan mengoptimumkan masa serta perbelanjaan ke atas tuntutan perjalanan (mematuhi tatacara keselamatan dan perkongsian maklumat yang terkandung dalam Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 2023 oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia).

Bagi tempahan tiket penerbangan pula, ia perlu berdasarkan perbandingan harga yang terbaik untuk mendapatkan ‘value for money’ dan membuat perancangan awal, selain turut digalakkan menempah dengan menggunakan Kad Kredit Korporat.

Perkara itu termaktub dalam surat pekeliling bertarikh semalam yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dan diedarkan kepada Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed; serta Ketua Setiausaha kementerian-kementerian.

Menurut surat pekeliling itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyentuh aspek penjimatan dan mengelak pembaziran sumber kewangan awam ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 13 Oktober lalu.

“Pekeliling Perbendaharaan PB 3.1 (Pindaan 2022) – Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sebagai panduan untuk kementerian/jabatan melaksanakan langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.

“Mengambil saranan Perdana Menteri dan prinsip ke atas garis panduan itu, semua Pegawai Pengawal dikehendaki melaksanakan kawalan perbelanjaan dengan rapi mengikut peraturan ditetapkan. Perbelanjaan awam perlulah dilaksanakan dengan berhemat, bersederhana dan selari dengan keperluan sebenar bagi mengurangkan komitmen kewangan kerajaan serta mengelakkan pembaziran sumber,” katanya.

Menurut surat pekeliling itu lagi, Pegawai Pengawal perlu mematuhi peraturan perjalanan rasmi bertugas ke luar negara sebagaimana terkandung dalam Arahan Setiausaha Jemaah Menteri Bilangan 1 (2021) dan penjelasan dalam PB 3.1 (Pindaan 2022).

Antaranya, mesyuarat/rundingan berjadual/berkala atau persidangan yang telah diluluskan dalam belanjawan tahunan dan yang benar-benar penting serta memberi impak yang signifikan kepada kepentingan negara, atau mesyuarat/persidangan yang sudah diluluskan oleh Jemaah Menteri.

“Pegawai Pengawal diingatkan supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti yang dijelaskan bawah Seksyen 15A Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) dalam melaksanakan pengurusan perbelanjaan.

“Kegagalan pegawai awam mematuhi semua peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa, boleh dikenakan tindakan tegas bawah Seksyen 18 Akta 61,” katanya.

Pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Oktober, Isnin lalu, Anwar menasihati penjawat awam supaya terus melakukan langkah penjimatan bagi memastikan dana awam tidak dibazirkan begitu saja.

Anwar dipetik berkata, penjawat tidak perlu melihat soal pembaziran dalam konteks yang besar saja, sebaliknya isu kecil seperti menutup lampu pejabat dan pemberian pen mengikut jawatan juga perlu dilakukan. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button