Politik

Annuar Musa sedia berkhidmat untuk PAS

Annuar Musa dilantik menjadi AJK Kerja PAS Pusat bermula hari ini.

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Tan Sri Annuar Musa yang baharu dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja PAS Pusat memaklumkan beliau berkhidmat bagi meneruskan perjuangan PAS bersama saf kepemimpinan sedia ada.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu berkata, beliau dimaklumkan berhubung pelantikan jawatan berkenaan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Jawatankuasa PAS Pusat yang memberikan kepercayaan kepada saya.

“Sebagai ahli parti, saya sedia berkhidmat kepada parti bagi meneruskan perjuangan PAS bersama saf pimpinan sedia ada.

“Insya-Allah saya akan terlebih dahulu membuat kunjungan terhadap Presiden parti dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Sanusi Md Nor dalam masa terdekat untuk arahan dan panduan seterusnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau turut berharap semoga Allah permudahkan segala urusannya dalam memikul amanah yang diberikan itu.

Terdahulu, Takiyuddin melalui kenyataan media memaklumkan nama Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO bersama Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim disenarai membarisi sembilan nama AJK Kerja PAS Pusat yang dilantik.

Pelantikan itu, katanya, dibuat hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berlangsung semalam berdasarkan kepada peruntukan Fasal 25 dan Fasal 26 Perlembagaan parti. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button