Anwar ada hak jemput PAS sertai Kerajaan Perpaduan – Ka Siong
Wee Ka Siong turut menyatakan bahawa tiada sesiapa boleh mempersoalkan keputusan tersebut.

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hak untuk menjemput mana-mana parti politik untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.
Malah, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Anwar juga mempunyai hak untuk membentuk Kabinet serta menukar mana-mana menteri Kabinet.
Beliau berkata, tidak ada sesiapa yang mempunyai hak untuk mempersoalkan keputusan Anwar berhubung perkara tersebut.
“Jemputan Perdana Menteri kepada Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan hanya membuktikan satu perkara, iaitu dalam politik, tidak ada musuh yang kekal, dan politik adalah seni menjadikan perkara yang mustahil menjadi mungkin.
“PKR dan DAP telah bekerjasama dengan Pas pada 2008 dan 2013 dalam gabungan Pakatan Rakyat dan sebagai parti pembangkang menentang Barisan Nasional (BN).
“Selain itu, PKR, DAP, dan Pas pernah bersama-sama menjadi kerajaan negeri Selangor. Saya tidak terkejut jika tiga parti ini akan membentuk pakatan lagi di masa depan,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di akaun media sosial beliau.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkta, beliau mencadangkan agar media dalam negara untuk meminta pencerahan berhubung jemputan itu daripada Anwar, Pas dan DAP.
Katanya, hal itu kerana mereka akan memberikan jawapan yang lebih memuaskan sebagai pihak yang terlibat.
Untuk rekod, Anwar dalam temu bual bersama media Time memaklumkan yang beliau telah memberi jemputan kepada Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.
Ketika ditanya maklum balas Pas terhadap jemputan tersebut, Anwar memaklumkan yang tiada sebarang penolakan mahupun penerimaan sehingga sekarang. — Xklusif