Berita

Anwar anggap saya ancaman, ada usaha terancang nak burukkan saya – Tun Daim

Dakwa Tun Daim, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukannya walaupun sudah berkali-kali mengajukan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

PUTRAJAYA 28 Dis – Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin menafikan beliau dan keluarganya terbabit dalam rasuah atau sebarang salah laku, sebaliknya mendakwa siasatan terhadapnya bermotifkan politik.

Dakwanya, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan mengenai kesalahan yang dilakukannya walaupun sudah berkali-kali mengajukan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya boleh mendedahkan bahawa kami menerima surat yang ditandatangani oleh (Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri) Azam Baki sendiri yang menolak secara langsung untuk memberitahu apa kesalahan saya.

“Namun, terdapat usaha terancang untuk memburukkan saya dengan mengeluarkan maklumat salah dan sindiran tidak berasas terhadap saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, Kuala Lumpur yang dikatakan milik keluarga Daim, disita SPRM.

Notis penyitaan bangunan setinggi 60 tingkat itu bertarikh 18 Disember lalu disiarkan melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita dengan ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.

Daim juga sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.

Daim turut mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa mengeluarkan kenyataan tanpa asas berhubung siasatan SPRM untuk memburukkan kredibilitinya.

“Umum mengetahui bahawa Anwar atas alasan yang dirinya sendiri tahu menganggap saya sebagai ancaman dan musuh politik yang perlu diburukkan kredibiliti. Amat tidak jujur untuk beliau menafikan perkara ini.

“Kecaman terbaharu Anwar terhadap saya pada 22 Disember lalu iaitu, ‘ia adalah rahsia terbuka. Seseorang mengaut kekayaan yang banyak’, adalah tuduhan tidak berasas kononnya saya bersalah atas kesalahan yang tidak dinyatakan.

“Saya sudah memaklumkan kepada peguam dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Mengenai Azam pula, beliau mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak profesional dan mencurigakan kerana membuat pelbagai komen prejudis terhadapnya ketika siasatan masih berjalan.

“Sebagai ketua organisasi, Azam perlu bertanggungjawab terhadap kebocoran berita ‘sumber’ mengenai siasatan ini.

“Apa yang dipanggil ‘sumber’ ini hanya boleh datang dari dalam SPRM kerana ia bertujuan untuk mendedahkan butiran siasatan terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan kononnya enggan mendedahkan butiran kewangan seperti dituntut oleh SPRM.

Tegasnya, beliau memberikan kerjasama penuh sejak awal siasatan berjalan dan sering berkomunikasi dengan agensi terbabit menerusi peguamnya.

“Oleh itu, adalah salah bagi ‘sumber’ SPRM untuk mendakwa bahawa saya tidak membuat pendedahan yang betul mengenai butiran kewangan yang dituntut oleh SPRM.

“Saya mengulangi bahawa semua yang diminta secara bertulis oleh SPRM sudah didedahkan dan mengikut undang-undang,” katanya sambil menambah sebagai bekas anggota kanan kerajaan dan menghormati proses siasatan, beliau hanya mendiamkan diri hingga kini.

“Namun, Perdana Menteri dan SPRM tidak mempamerkan rasa hormat yang sama terhadap proses itu sehingga memaksa saya memberi maklum balas bagi menjaga nama baik dan reputasi saya.

“Tetapi bukan itu sahaja yang membimbangkan saya, saya juga khuatir dengan keadilan dan integriti institusi kita. Institusi ini perlu dilindungi demi kebaikan negara.

“Demi kepentingan awam, proses penyiasatan dan pendakwaan tidak boleh dicemari dengan berat sebelah, ketidakadilan atau bermotifkan politik. Ini akan menjejaskan setiap rakyat Malaysia,” katanya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button