Berita

Anwar bidas kenyataan Dr M terhadap orang India

Perdana Menteri berkata sebagai seorang bekas Perdana Menteri sejak sekian lama, tidak sepatutnya ada kenyataan yang menghina mana-mana kaum di negara ini sama ada majoriti atau minoriti

KUALA LUMPUR 16 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan membantah kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap masyarakat India di negara ini kerana ia sangat tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri berkata sebagai seorang bekas Perdana Menteri sejak sekian lama, tidak sepatutnya ada kenyataan yang menghina mana-mana kaum di negara ini sama ada majoriti atau minoriti.

“Beliau memang terkenal (buat kenyataan sedemikian) Melayu baginya malas melainkan dia, kaum India dan Cina itu dianggap kurang setia kepada negara, kecuali beberapa kroni dia.

“Saya anggap itu kenyataan sangat tidak bertanggungjawab, kita bantah. Bagi saya mana-mana rakyat yang setia kita harus menghormati tidak kira mana-mana kaum,” katanya selepas pelancaran Program Kecerdasan Buatan (AI) untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

AI Untuk Rakyat’ adalah program pembelajaran kendiri dalam talian, direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap AI.

Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan Dr Mahathir mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka dalam satu temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit di India. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button