Berita

Anwar cabar pembangkang bongkar rasuah dalam Kerajaan Perpaduan

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa beliau tidak akan melindungi atau mempertahankan pemimpin berkenaan, jika benar didapati melakukan kesalahan terbabit.

PUTRAJAYA 5 Feb – Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pembangkang supaya membongkar sebarang salah laku dalam kalangan pimpinan Kerajaan Perpaduan, khususnya membabitkan kesalahan rasuah.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa beliau tidak akan melindungi atau mempertahankan pemimpin berkenaan, jika benar didapati melakukan kesalahan terbabit.

“(Mereka cakap) tidak ada tindakan terhadap menteri dan disebabkan itu tak adil kerana (hanya) ambil tindakan terhadap pembangkang. Kalau ada bongkar, saya tidak akan pertahankan tetapi jangan guna itu untuk lindungi perasuah, perasuah terbesar dalam sejarah negara.

“Kalau ada silakan, Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) ada di sini, menteri ada di sini, kita semua bersepakat kalau ada antara rakan dalam Jemaah Menteri, ada kes kontrak atau apa, arahan kita adalah tidak akan pertahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Anwar berkata, isu ketirisan di Malaysia masih belum dihapuskan sepenuhnya dan ia amat merugikan rakyat dan negara.

Katanya, ketirisan itu menyebabkan negara kehilangan hasil antaranya seperti minyak mentah dan diesel kerana wujud kelompok kecil yang meneruskan jenayah terbabit.

“Kalau kita boleh selamatkan RM10 bilion atau RM20 bilion, saudara bayangkan berapa banyak universiti, berapa sekolah, berapa hospital, berapa elaun untuk penjawat awam kita boleh tingkatkan.

“Ini bukan untuk perbaiki rumah Perdana Menteri atau elaun dia, apa yang kita dapat daripada pulangan itu, kembalikan kepada rakyat, noktahkan kemiskinan, beri pendidikan bermutu,” katanya.

Beliau berkata, wang yang diselamatkan daripada aktiviti rasuah dan ketirisan amat bermakna kerana boleh disalurkan demi kepentingan rakyat. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button