Anwar dah muak cerita nak guling kerajaan
Beliau muak dengan khabar angin berterusan berhubung rancangan menjatuhkan kerajaan perpaduan dan menggesa pihak terbabit membentangkan usul undi tidak percaya terhadapnya di sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR 6 Mei – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi amaran secara tidak langsung kepada pihak yang cuba menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinannya.
“Jangan sabotaj, kalau kita dah beri ruang dan cuba mengganggu gugat, kita akan bertindak sewajarnya tanpa bertolak ansur,” katanya ketika menghadiri rumah terbuka di Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang.
Katanya, beliau muak dengan khabar angin berterusan berhubung rancangan menjatuhkan kerajaan perpaduan dan menggesa pihak terbabit membentangkan usul undi tidak percaya terhadapnya di sidang Dewan Rakyat akan datang.
Ini menyusul laporan sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional dikatakan terbabit dalam komplot dengan Perikatan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan semasa.
Sebelum ini dilaporkan 10 Ahli Parlimen BN berhasrat memaksa pilihan raya kecil diadakan dengan meninggalkan parti itu. Mereka semua sebelum ini menyokong Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin selepas PRU 2022. – FMT