Berita

Anwar dedah banyak subsidi ‘bocor’ dalam Malaysia

KUALA LUMPUR 18 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia sebuah negara yang makmur, namun mengalami ‘kebocoran’ yang banyak termasuk isu pemberian subsidi.

Perdana Menteri berkata, subsidi seperti bahan api diesel dan petrol untuk orang miskin ‘disakau’ dengan begitu banyak.

Justeru, katanya, perkara itu yang akan diperbetul dan diberi penekanan oleh Kerajaan Perpaduan supaya golongan yang benar-benar layak sahaja menikmati subsidi selepas ini.

“Sebab itu badan penguat kuasa terutama di kawasan sempadan termasuk di Kelantan perlu melaksanakan tugas dengan baik.

“Sebagai contoh kerajaan menanggung subsidi elektrik RM30 bilion tahun ini sekiranya kita tidak kawal. Disebabkan itu bagi golongan kaya kita akan naikkan kadar elektrik, manakala rakyat biasa tidak akan terbabit.

“Begitu juga dengan Tabung Haji (TH), kenapa mereka yang bergaji RM50,000 sebulan perlu diberi subsidi oleh TH? sekiranya tiada tindakan dilakukan, TH akan terus terbeban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Khas kepada Penjawat Awam Negeri Kelantan, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Artikel Berkaitan

Back to top button