Anwar dedah impak OPR naik, bukan untuk keuntungan bank semata-mata
Ia juga bukan merupakan sebahagian daripada pertimbangan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dalam penetapan dasar monetari.

KUALA LUMPUR 25 Mei – Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bukan bertujuan mengutamakan kepentingan sesetengah pihak seperti bank, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, ia juga bukan merupakan sebahagian daripada pertimbangan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dalam penetapan dasar monetari.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun bank mungkin memperoleh manfaat daripada pembayaran balik pinjaman apabila OPR meningkat, bank juga secara amnya perlu membayar kadar faedah untuk simpanan yang lebih tinggi dan ini meningkatkan kos pendanaan mereka.
“Ekonomi yang sihat dan keadaan harga yang lebih stabil akan memberi kesan limpahan yang lebih baik kepada semua pihak.
“Pada paras OPR terkini iaitu 3.00 peratus seperti diumumkan oleh MPC pada 3 Mei 2023, dasar monetari masih akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Melangkah kehadapan, MPC akan terus memastikan pendirian dasar monetari kekal konsisten dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Perdana Menteri menjawab soalan dikemukakan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan rasional Bank Negara menaikkan OPR sebanyak 0.25 peratus yang hanya menguntungkan sektor perbankan sebaliknya menambahkan beban kewangan peminjam memandangkan Indeks Harga Pengguna (IHP) telah reda dan turun daripada 3.7 peratus pada Februari kepada 3.4 peratus pada Mac 2023.
Anwar berkata ketika ekonomi Malaysia menghadapi cabaran kemelesetan disebabkan oleh krisis COVID-19, OPR telah diturunkan daripada 3.00 peratus kepada 1.75 peratus pada 2020, iaitu paras yang terendah dalam sejarah negara.
Menurutnya, kegiatan ekonomi telahpun beransur pulih serta kembali kepada tahap normal apabila negara memasuki fasa peralihan ke endemik sejak 2022.
“Ekonomi Malaysia terus mengukuh dan perkara ini turut disokong oleh pelbagai penunjuk data yang positif. Kadar pertumbuhan ekonomi pada 2022 juga telah melebihi paras pra-pandemik. Malah, tahap pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku pertama iaitu sebanyak 5.6 peratus terus melepasi paras purata KDNK pada 2011 hingga 2019 yang pernah dicatatkan sebelum ini.
“Tambahan pula, keadaan pasaran pekerjaan yang terus bertambah baik (digambarkan oleh kadar pengangguran yang semakin rendah iaitu 3.5 peratus pada suku pertama 2023 berbanding 3.6 peratus pada suku keempat 2022) turut menyokong aktiviti perbelanjaan isi rumah yang kekal berdaya tahan,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau berkata dasar makro perlu dikaji semula agar negara tidak mengalami tekanan dari segi pertumbuhan ekonomi yang tidak mampan dan tekanan harga yang melampau terutamanya pada masa hadapan berikutan dasar makro yang tidak bersesuaian.
Perdana Menteri berkata hal ini terutamanya disebabkan oleh kewujudan tekanan harga yang didorong oleh permintaan yang kukuh sejajar dengan pemulihan kegiatan ekonomi.
Pada Suku Pertama 2023, inflasi telah menurun ke paras 3.6 peratus berbanding 3.9 peratus pada Suku Keempat 2022 disebabkan oleh harga petrol RON97 yang lebih rendah.
Walau bagaimanapun, inflasi masih berada pada paras yang tinggi berikutan permintaan dalam negeri yang masih kukuh dalam keadaan ekonomi yang lebih teguh.
“Bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang pada kadar yang mampan dan inflasi terus terkawal, BNM telah bertindak awal dalam melaraskan kadar dasar OPR secara beransur-ansur sejak Mei 2022.
Tindakan tersebut adalah penting untuk memastikan OPR berada pada tahap yang wajar dan sesuai dengan keadaan makroekonomi.
“Sekiranya OPR dikekalkan pada paras terlalu rendah untuk tempoh yang terlalu lama ketika keadaan ekonomi semakin kukuh, ia akan menjurus kepada perbelanjaan dan pinjaman yang terlalu tinggi,” katanya. – Berita Harian