KUALA LUMPUR 16 Okt – Perdana Menteri hari ini menegaskan pemberian subsidi seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2024, Jumaat lalu diperbaharui untuk memastikan langkah penjimatan negara berhasil dan mampu dimanfaatkan sepenuhnya kepada rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rencana baharu subsidi itu juga harus dilaksanakan memandangkan ia turut dinikmati oleh kira-kira 10 peratus golongan yang tidak layak (kumpulan kaya dan berpendapatan tinggi), 3.5 juta warga asing dan ketirisan ke negara jiran.
“Sejumlah RM81 bilion subsidi diberikan kerajaan, tertinggi di dunia. Walaupun saya dikecam ‘bila kita jadi kerajaan hari ini, minyak akan turun esok’, ia satu konteks yang berbeza kerana ketika itu harga minyak di Arab Saudi ialah 50 sen. Sekarang harga di sana RM2.85 dan kita RM2.05.
“Minyak, ayam dan elektrik pula dinikmati oleh 3.5 orang asing, 10 peratus orang kaya dan ia tidak termasuk yang diseludup keluar. Disebabkan itulah perancangan perlu dilakukan untuk mengelakkan ketirisan berlaku.
“Warga asing mendapat manfaat. Okaylah mereka bekerja tetapi kita beri subsidi lagi. Begitu juga ketirisan diesel. Kita faham jumlah kereta tidak meningkat puluhan peratus tetapi penggunaan diesel meningkat puluhan peratus. Perlunya dasar untuk membaiki (pengagihan) minyak diesel,” katanya pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Mengulas mengenai kritikan terhadap Belanjawan 2024, Anwar berkata, beliau terbuka dengan ulasan yang pelbagai termasuk di media sosial.
“Kadang-kadang saya bukanlah tidak boleh mendengar kritikan tetapi biarlah ia munasabah. Seperti kritikan dalam cukai (terhadap golongan tertentu), sebenarnya kita bukan tak bagi subsidi tetapi mereka bayar pada kadar biasa. Kita hanya beri subsidi kepada 90 peratus rakyat sahaja dan ia menjimatkan RM4 bilion kepada kerajaan,” katanya. – Berita Harian