Berita

Anwar dijangka jelas pendirian kerajaan berhubung RUU AS sekat sokong Hamas

Selesai sesi itu, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan RUU Perbekalan 2024 pada peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkaitan

KUALA LUMPUR 7 Nov – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyatakan pendirian kerajaan di Dewan Rakyat hari ini berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pada Waktu Pertanyaan Menteri mengenai RUU itu yang mengenakan sekatan terhadap pihak luar menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin.

Selain itu, Anwar dijangka menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) mengenai jumlah yang dibelanjakan kerajaan untuk promosi dan publisiti menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa dari 2020 hingga kini.

Pada sesi soal jawab, Ronald Kiandee (PN-Beluran) dijangka meminta menteri dalam negeri menyatakan status terkini Eastern Sabah Security Command (Esscom) dan usaha mempertingkatkan keupayaan aset serta tahap penguatkuasaan bagi keselamatan sempadan.

Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) pula dijadual bertanyakan menteri perpaduan negara sama ada Akta Hasutan dan Akta Komunikasi mencukupi dalam menghadapi isu 3R atau kerajaan berhasrat memperkenalkan RUU baharu berkaitan keharmonian kaum.

Selesai sesi itu, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan RUU Perbekalan 2024 pada peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkaitan.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan RUU pada peringkat jawatankuasa itu akan berlangsung selama 12 hari hingga 27 Nov ini.

Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari sejak 9 Okt lepas. – Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button