Berita

Anwar dukung penuh teguran Sultan Selangor

Ia bagi meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab

KUALA LUMPUR 30 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau mendukung penuh peringatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya rakyat khususnya bukan beragama Islam menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, Perdana Menteri berkata, namun jika terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang kekeliruan, pihak bukan Islam boleh menulis kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Beliau berkata ia bagi meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab.

Semalam, Sultan Selangor yang juga Pengerusi MKI bertitah MKI memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

Titah baginda, MKI juga dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang membabitkan undang-undang dan agama Islam.

“Justeru, baginda mengharapkan agar orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office, semalam.

Sultan Selangor bertitah sedemikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan awal bulan ini.

Pemimpin DAP itu menjelaskan langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.

Cadangan Koo Ham itu mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Agama, UMNO, malah pemimpin DAP turut menyifatkan Koo Ham terkhilaf dalam memberikan cadangan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menyifatkan cadangan itu tidak berasas sama sekali.

Beliau dilaporkan berkata dalam perkara dasar pentadbiran hal ehwal Islam termasuk isu dasar perundangan dan kehakiman syariah yang membabitkan urusan umat Islam, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa merujuk MKI.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga bertegas menolak cadangan itu sambil menyifatkan Koo Ham sebagai ‘tidak berpijak di bumi nyata.’

Beliau menjelaskan penegasan itu sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan, dan cadangan wakil rakyat DAP berkenaan hanya akan mencetuskan polemik tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dilaporkan berkata cadangan itu Koo Ham itu adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa itu. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button