Politik

Anwar faham keluhan MIC, fokus selesaikan isu kaum India

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada pimpinan MIC akan memberi fokus untuk menyelesaikan isu membabitkan kaum India, khususnya berkenaan miskin tegar dan pendidikan.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau faham dan mengambil kira keluhan MIC yang mendakwa seperti dianak tirikan dalam Barisan Nasional (BN) khususnya membabitkan isu pengagihan kerusi bagi enam pilihan raya negeri (PRN) selain jawatan menteri dalam Kabinet.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan situasi negara pada masa kini memerlukan semua pihak mengenepikan soal kepentingan politik buat sementara dan bersama-sama menyelesaikan isu kemiskinan tegar.

“Saya ingin memberi jaminan kepada anda (pimpinan dan akar umbi MIC), ini bukan kenyataan politik semata-mata. Kita mungkin mempunyai pendapat yang berbeza, tapi jangan persoalkan bahawa saya ingin berkhidmat kepada negara, ingin memastikan setiap penduduk ada tempat di negara ini, dan bangga menjadi rakyat Malaysia.

“Pimpinan kanan BN, UMNO sudah tentu, termasuk MIC dan MCA telah membuat keputusan yang kritikal, di bawah situasi yang sangat rumit untuk menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Dan saya sejujurnya mengharapkan agar pencapaian kita dalam tempoh lapan bulan lepas, membuktikan kita sedang melalui laluan baharu. Satu anjakan dari polisi lalu yang hanya menimbulkan perpecahan dan sarat dengan naratif politik,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada akar umbi MIC dalam pertemuan khas bersama mereka di Dewan Sivaji, Bangunan MIC di ibu negara hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan.

Anwar turut mengingatkan bahawa tanggungjawabnya bukan sahaja kepada satu kaum semata-mata, tetapi kepada semua kaum dan etnik di negara ini.

“Saya tak kata saya satu-satunya pemimpin Melayu yang berani berhujah begini … tetapi tak ramai yang berani untuk berdepan dengan rakyat, berdepan dengan kelompok yang guna isu perkauman, yang sengaja membangkitkan isu agama dengan keras. Saya sama sekali tidak akan bertolak ansur.

“Kalau saya pimpin, selaku Perdana Menteri, saya tidak akan bertanggungjawab dalam memenuhi tugas saya kalau saya tidak menjaga kepentingan semua kaum di negara ini,” tegasnya lagi.

Terdahulu, pimpinan kanan MIC berhasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, seolah-olah parti itu diketepikan dalam Kerajaan Perpaduan. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button