Anwar, isteri tunai umrah, titip doa buat Palestin
Umrah itu ditunaikan selepas menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC.

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan mengerjakan ibadah umrah hari ini, selepas Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), berakhir, sebelum beliau berangkat ke Amerika Syarikat.
Ia turut disertai oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama delegasi Malaysia yang lain.
“Saya titipkan doa memohon Allah mengangkat penindasan dan kemusnahan dari bumi Palestin.
Semoga saudara kita di Gaza dan Tebing Barat dilimpahkan kesejahteraan, keamanan dan dikurnia kekuatan dalam menempuh tentangan dan kezaliman,” tulisnya dalam media sosialnya, semalam.
Kelmarin, Anwar dan delegasi Malaysia tiba di Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan rejim Israel ke atas Palestin khususnya Gaza.
Pemimpin dan delegasi daripada negara anggota OIC berkumpul pada sidang kemuncak itu yang dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri Arab Saudi. —Xklusif