Berita

Anwar jamin pencen pesara tak berkurang

Bayaran pencen bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013 dikembalikan kepada amaun Disember 2012.

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Kerajaan memberi jaminan akan menokok jumlah pencen pesara penjawat awam bagi memastikan jumlah pencen mereka tidak berkurangan daripada apa yang telah diterima ketika ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Walaupun ada keputusan mahkamah, kerajaan khususnya Perbendaharaan membuat keputusan untuk menokok jumlah yang dianggap kurang itu supaya tidak kurang daripada gaji (pencen) yang sepatutnya (diterima),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Sumbangan Kasih Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) dan Yayasan Alumni PTD di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam tadi.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen menjadikan pindaan kepada Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA) itu tidak lagi terpakai kepada pesara kerajaan.

Pada Julai lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam satu kenyataan bahawa kerajaan telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai 2023 hingga Dis 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal.

Ini menyaksikan bayaran pencen bagi pegawai awam yang bersara sebelum 2013 dikembalikan kepada amaun Dis 2012, manakala pegawai awam yang bersara mulai 2013 bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara.

Bagaimanapun, Anwar berkata: “Perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal terus dibayar dalam bentuk bantuan khas yang dinamakan sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara sama seperti amaun pencen semasa iaitu amaun pencen pada Jun 2023.

Terdahulu, Presiden Alumni PTD Abdul Halim Ali ketika berucap pada majlis itu menyuarakan kebimbangan bahawa pencen pesara akan berkurangan pada tahun depan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan pindaan undang-undang pencen berkenaan.

Sementara itu, menyentuh mengenai kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Anwar berkata kerajaan komited meneliti perkara itu secara mendalam, namun ia memerlukan sedikit masa.

“Dalam penyelarasan gaji ini, tentu isunya akan diteliti dan dikaji dan saya percaya SSPA ini sudah cecah 11 tahun belum ada (kajian semula). Bukan masalahnya saya hendak memenangi atau memujuk penjawat awam, tetapi ini kenyataannya.

“Sepatutnya ia disemak setiap 10 tahun, namun kerana politik itu tidak berkesudahan jadi tidak sempat fikir masalah penjawat awam. Tetapi sekarang wujudnya Jawatankuasa Semakan Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam, Insya-Allah, ia akan dapat diatasi,” katanya.

Pada majlis itu juga, perdana menteri turut meluluskan peruntukan RM500,000 kepada Alumni PTD bagi meneruskan aktiviti persatuan itu dalam membantu memperkukuh pentadbiran dan perkhidmatan awam. — Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button