Anwar jamin semua sekolah miliki prasarana asas menjelang Oktober
Anwar berkata demikian di hadapan lebih 6,000 orang yang menghadiri Majlis Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan semua sekolah di negara ini akan memiliki prasarana asas yang munasabah menjelang Oktober ini.
Jaminan itu disuarakan Perdana Menteri di hadapan lebih 6,000 orang yang menghadiri Majlis Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, baginya sekolah yang mempunyai prasarana asas yang lengkap lebih bermakna kepada jutaan ibu bapa dan murid berbanding sekadar memiliki mercu tanda bangunan dan gedung besar.
“Kemerdekaan fikiran, pemikiran jiwa yang merdeka itu tidak hanya kagum dengan gedung raksasa, jiwa merdeka itu dengan memberi pengertian apa itu keadilan bagi semua rakyat, bukan bagi beberapa kalangan elit terpilih.
“Sebab itu kita bangga kerana sebelum akhir tahun ini, secara khususnya Oktober ini, semua sekolah di negara kita, sekolah kebangsaan, sekolah Cina, Tamil, arab, semua tanpa kecuali, akan mempunyai prasarana asas yang munasabah dengan bumbung dan tandasnya,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. — Xklusif