Berita

Anwar jumpa Johari, KJ bincang hala tuju ekonomi negara 

Perjumpaan itu sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan mengenai ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.

KUALA LUMPUR 16 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perjumpaan bersama Datuk Seri Johari Ghani dan Khairy Jamaluddin bagi membincangkan hala tuju ekonomi negara.

Perjumpaan itu turut dihadiri Pengerusi bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Dato’ Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi.

Anwar berkata, perjumpaan itu sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan mengenai ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat.

“Perbincangan turut menyentuh bidang pertumbuhan baharu dan kaedah untuk memperkukuh ekosistem pelaburan.

“Segala pandangan yang dikongsikan pastinya akan digunakan untuk membentuk Naratif Ekonomi MADANI yang sedang dirangka bagi mencorak hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.

Menurut Anwar lagi pakar ekonomi juga bersependapat bahawa negara tidak mempunyai masa yang panjang untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang sedang melanda.

“Pakar ekonomi yang saya temui hari ini juga bersetuju bahawa kita punyai masa yang terhad untuk menyelesaikan masalah atau tantangan yang melanda ekonomi negara dan membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul.

“Saya faham sebarang reformasi atau pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran. la juga memerlukan keyakinan serta keberanian untuk melakukan perkara yang baharu dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Namun Kerajaan ini tekad dan akan bekerja keras untuk memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan,” katanya.

Pertumbuhan ekonomi bukan tentang angka semata-mata tetapi mesti menggarap keperluan serta kehendak rakyat.

Artikel Berkaitan

Back to top button