Anwar kemuka dokumen dituntut Muhyiddin
Perdana Menteri mendesak Muhyiddin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) untuk memohon maaf atas fitnah dilemparkan.
KUALA LUMPUR 20 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan dokumen ditandatanganinya bagi meluluskan pelupusan hutang FELDA berjumlah RM8.3 bilion seperti dituntut Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mendesak Muhyiddin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) untuk memohon maaf atas fitnah dilemparkan.
“Saya kemukakan sebahagian dokumen perjanjian ‘Assignment for Financial Service Reserve Account’ (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang saya tandatangani.
“Justeru itu, saya mendesak Tan Sri Muhyiddin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Anwar berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka FELDA, selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri.
LOD disediakan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership bertarikh 18 Julai itu dihantar ke dua alamat Anwar iaitu di kediamannya di Kajang, Selangor dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.
Menerusi dokumen berkenaan, firma itu menyatakan, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah membuat kenyataan fitnah dengan niat mencemar, menjatuhkan dan/atau merosakkan reputasi Ahli Parlimen Pagoh itu. – Xklusif