Anwar mahu lakukan perubahan untuk selamatkan Malaysia
Anwar juga yakin negara akan lebih agresif pada tahun depan.
KUALA LUMUR 23 Nov. – Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin, Malaysia akan lebih agresif pada tahun depan dalam membawa perubahan dan anjakan yang diperlukan berdasarkan kestabilan politik dimiliki negara ketika ini.
Perdana Menteri berkata, perubahan itu bukan sahaja untuk menyelamatkan Malaysia, malah mengangkat kembali martabat sebagai negara hebat di rantau ini.
“Kita bersyukur kerana kestabilan politik setahun di bawah Kerajaan Perpaduan mengundang banyak industri besar (ke Malaysia) dan saya pernah bertanya pandangan mereka (syarikat gergasi), saya tanya juga Geely-Proton, saya tanya Elon Musk (Tesla), Google, Tiktok dan lain-lain.
“Saya tanya mereka apa keistimewaan Malaysia, mereka kata sekarang ini politik stabil. Walaupun ada orang politik bising di Parlimen itu biasalah, tetapi politik stabil, orang yang mengidam nak ambil alih kerajaan, susah sikit sekarang ini,” katanya seperti dipetik dari BH.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2023 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini. — BH