Anwar minta Tun M jaga kesihatan
Perkara itu susulan sindiran yang dilemparkan Tun M terhadap Anwar hari ini.

KUALA LUMPUR 5 Jan. – “Jaga kesihatan” ungkap Datuk Seri Anwar Ibrahim secara ringkas sebagai mengulas sindiran yang dilemparkan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa usaha menubuhkan kerajaan pintu belakang di negara ini adalah kepakaran Anwar.
Terdahulu Anwar merasmikan Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di World Trade Centre (WTC), hari ini.
Dr Mahathir dalam kenyataannya hari ini, menafikan beliau terbabit dalam gerakan Langkah Dubai yang didakwa dibuat bertujuan menjatuhkan kerajaan.
Bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu menegaskan, beliau tidak berada di Dubai, ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) seperti yang heboh diperkatakan.
“Pertamanya, saya sudah lama tidak ke Dubai. Keduanya, sepanjang ingatan saya usaha politik langkah-melangkah, kerajaan pintu belakang atau backdoor Government adalah kepakaran Perdana Menteri,” katanya dalam satu catatan di laman X, hari ini. — Berita Harian