Berita

Anwar nafi arah Idrus Harun lepaskan Zahid

Anwar berkata dia tidak melakukan sebarang campur tangan atau arahan kepada AG melibatkan keputusan kes mahkamah Zahid.

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengulangi bahawa keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi  dibuat oleh bekas peguam negara, Idrus Harun, dan tanpa campur tangan atau arahannya.

“Tapi saya nak jelaskan, tak ada arahan (kepada) peguam negara (ketika itu), Idrus (Harus). Dia terlibat dalam meneruskan pendakwaan, kemudian dia baca dokumen bocor yang ditulis AGC (Pejabat Peguam Negara) yang menyatakan tak bersetuju dengan pendakwaan.

“Beberapa fakta baharu (setebal) 200 halaman dikemukakan. Tentunya saya sebagai perdana menteri tahu kesan dari tuduhan yang dilemparkan. Saya terpaksa tanya panjang kepada AG (peguam negara) kenapa keputusannya begitu, kenapa sekarang,” kata Anwar selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling di Kuala Lumpur, hari ini..

Menurutnya lagi, jika dia mempunyai pilihan atau kuasa, dia lebih gemar menangguhkan keputusan itu, terutama selepas pilihan raya kecil di Pulai dan Simpang Jeram esok dan Pelangai bulan depan.

Tetapi menurut Anwar, Idrus berkeras mahu menyelesaikan kes itu sebelum dia bercuti dan bersara.

“Dia (Idrus) tak mahu lepaskan tanggungjawab yang dia uruskan kepada yang lain.

“Saya tak boleh halang dan saya baca kenyataan sebahagiannya benar, sebahagiannya lahirkan rasa kesangsian dan minta penjelasan lanjut,” katanya.

Susulan polemik yang berlaku, perdana menteri berkata dia  tidak menuding untuk menyalahkan rakyat yang sebenarnya ingin penjelasan lanjut mengenai keputusan terbabit.

“Tapi kalau kita baca 11 perkara yang dibentangkan di hadapan hakim dan hakim berpuas hati. Orang kata salahkan hakim atau nak bebankan hakim, tak ada.

“Itu proses begitu rupa. Itu saja yang saya boleh sebut dalam kes ini.

“Saya tak fikir ini adil untuk jatuhkan hukuman kerana suka atau tak suka terhadap orang politik. Semua kes berbeza tapi banyak kes yang terlepas, sama ada sebelum perbicaraan atau selepas perbicaraan. Tapi bersabar dan baca,”katanya.

Anwar seterusnya menasihatkan orang ramai supaya tidak mendengar tohmahan orang politik.

“Kadang-kadang dia ini ikut sedap kata saja. Jadi saya syorkan baca ketetapan daripada AG di hadapan hakim dan mengapa hakim kemudian bersetuju dengan usul. Ada yang mengatakan hakim tak ada pilihan. Itu tak benar,” katanya.

Pada 4 Sept, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAAZahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Langkah itu diambil hakim Collin Lawrence Sequerah selepas pihak pendakwaan sendiri memohon untuk memberhentikan prosiding dengan memberikan 11 alasan.

Permohonan itu dibuat timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar. — MalaysiaKini

Artikel Berkaitan

Back to top button