Anwar nasihat Muhyiddin tumpu saja kes di mahkamah
Anwar mengulas desakan Muhyiddin supaya beliau letak jawatan
KUALA LUMPUR 17 Ogos – “Saya nasihatkan dia (Muhyiddin) tumpu kes mahkamah,” itu pesanan ringkas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dinasihatkan supaya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kes mahkamah yang sedang beliau hadapi dan bukan perkara lain.
Anwar berkata demikian susulan Muhyiddin membuat gesaan supaya beliau meletakkan jawatan selepas keputusan pilihan raya di enam negeri yang memperlihatkan kemerosotan sokongan pengundi Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan.
Anwar berkata, beliau tidak pasti Muhyiddin membuat gesaan tersebut berlandaskan faktor apa kerana pentabdiran negara masih lagi dikuasai oleh Kerajaan Perpaduan.
“Kita kekal kemenangan tiga negeri, kita masih dapat dua pertiga majoriti ahli parlimen, dia buat perkiraan apa?, ” kata Anwar selepas merasmikan projek Residensi Wilayah, Residen Prihatin Madani dan Pusat penjaja Madani di Desa Tasik hari ini.
Pada 12 Ogos lalu Muhyiddin berkata, kemenangan PN di kerusi majoriti Melayu dan kawasan campuran membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan masyarakat bukan Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan.
Muhyidddin turut menyifatkan Kerajaan Persekutusan yang diterajui Anwar bersama Presiden UMNI Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai gabungan politik rapuh serta perpaduan palsu.
“Maka benarlah pilihan raya negeri ini adalah satu referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi yang menerajui gabungan ini mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta merta,” katanya pada sidang media di sebuah hotel selepas keputusan PRN diumumkan.
Pada PRN lalu Kerajaan Perpaduan dan pembangkan mengekalkan status quo dengan masing-masing mendapat kemenangan di negeri yang ditadbir sebelum ini.
Bagaimanapun jumlah sokongan dan jumlah kerusi yang dimenangi pembangkang meningkat terutama di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Selangor. — Xklusif