Berita

Anwar sedih terima berita kematian peguam terkenal, Sulaiman Abdullah

Pada 2018, Sulaiman dilantik sebagai pendakwa utama dalam perbicaraan kes dana SRC International Sdn Bhd yang membabikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR 19 Dis – Peguam terkenal, Datuk Sulaiman Abdullah yang pernah terlibat dalam kes-kes berprofil tinggi, meninggal dunia pada umur 77 tahun, pada Isnin.

Anaknya, Huzir yang mengesahkan perkara itu menerusi pesanan WhatsApp berkata, walaupun tahap kesihatan bapanya tidak menentu sejak akhir-akhir ini, pemikirannya tetap tajam, masih suka berseloroh.

“Arwah masih terus mewakili pelanggan, di samping berkhidmat dalam pelbagai jawatankuasa dan panel penasihat. Semoga ALLAH menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang beriman.

“Istiadat pengebumian akan berlangsung hari ini di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer, Petaling Jaya, pada 1.10 tengah hari, selepas solat Zuhur,” katanya.

Pada 2018, Sulaiman dilantik sebagai pendakwa utama dalam perbicaraan kes dana SRC International Sdn Bhd yang membabikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Huzir berkata, beliau akan menganjurkan majlis memperingati arwah secara dalam talian dalam beberapa minggu, yang dibuka kepada orang ramai.

“Sekiranya ada pihak dalam komuniti perundangan negara yang berhasrat menganjurkan majlis memperingatinya, saya mengalu-alukannya,” katanya.

Peguam veteran itu pernah menjadi Presiden Majlis Peguam dari tahun 2000 hingga 2001, di samping pernah menjadi peguam kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Arwah juga pernah mewakili isteri kepada bekas duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail dalam tuntutan berkaitan harta sepencarian atau pembahagian faraid di mahkamah syariah.

Di samping itu arwah juga pernah terlibat dalam kes berkaitan krisis perlembagaan Perak susulan penyingkiran bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin pada 2009.

‘Allahyarham Sulaiman, peguam yang berpegang kepada prinsip keadilan’ – PM

Sementara itu, Anwar menyifatkan Allahyarham Sulaiman sebagai seorang yang teguh berpegang kepada prinsip keadilan dan hak asasi manusia.

Menerusi catatan di X, Anwar mengakui bahawa Allahyarham Sulaiman tidak hanya seorang peguam malah sahabat akrab yang bersamanya dan keluarga pada tahun-tahun gelap serta getir.

Anwar berkata, fikrah dan nurani Sulaiman yang teguh kepada prinsip keadilan dan hak asasi manusia tidak dapat disangkal sesiapa.

“Saya amat terkesan kerana menerima berita ini ketika masih di Tokyo, Jepun untuk lawatan kerja, mendoakan keluarganya diberi kecekalan yang ampuh, diampun segala dosanya serta diberi tempat istimewa di sisi ALLAH SWT,” kata Anwar.

Perdana Menteri berada di Tokyo sejak 15 Disember lepas bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun selain Sidang Kemuncak Komuniti Sifar Emisi Asia. – Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button