Anwar sertai 2 sesi khas di Singapura
Anwar menghadiri Sidang Kemuncak Asia ke-10 Milken Institute di Singapura hari ini.
KUALA LUMPUR 13 Sept. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menyertai dua sesi khas pada Sidang Kemuncak Asia ke-10 Milken Institute di Singapura hari ini, yang akan disertai pemimpin-pemimpin industri global dan syarikat-syarikat pelaburan.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan dua sesi khas berkenaan ialah A Conversation with the Prime Minister of Malaysia dan Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between YAB Prime Minister and Global Investors.
Penyertaan itu adalah sebahagian daripada rangka lawatan kerja perdana menteri ke Singapura hari ini.
Anwar yang juga menteri kewangan diiringi isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut sama, Menteri Luar Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pegawai daripada kementerian dan agensi yang berkaitan.
Di samping itu, perdana menteri turut dijadualkan bertemu dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, dalam sesi minum petang dan kedua-dua pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan berhubung perkembangan domestik dan antarabangsa.
Pada 2022, Singapura merupakan rakan dagang dunia kedua terbesar Malaysia dengan perdagangan mencecah RM390.4 bilion (AS$83.53 bilion) yang merangkumi 12.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia.
Ia merupakan peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada tempoh yang sama bagi 2021 iaitu RM301.7 bilion (AS$64.55 bilion). — Bernama