Anwar ‘setuju’ rombak kabinet sebelum 2024
Perdana Menteri sebelum itu menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 2,000 jemaah di surau berkenaan

PUTRAJAYA 1 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan kemungkinan dibuat sebelum hujung tahun ini.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri ketika menyantuni seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang menantikan Anwar bersama pengamal media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Putra Al-Amin Fasa 4, di sini.
Anwar ketika berhenti di hadapan pengamal media tiba-tiba bertanyakan kepada kanak-kanak terbabit apa soalan yang mahu ditanyakannya.
Kanak-kanak terbabit, Akmal Afif Yasser Arafat, kemudiannya mengulangi soalan yang diutarakan pengamal media berkaitan rombakan Kabinet kepada Perdana Menteri.
Berikut adalah perbualan antara Anwar dan kanak-kanak terbabit:
Akmal: Datuk Seri, bila rombakan Kabinet?
Anwar: Nama apa?
Akmal: Nama saya Akmal Afif.
Anwar: Akmal cadang bila? Sebelum ke selepas 2024?
Akmal: Sebelum 2024.
Anwar: Dia jawab sebelum 2024. Saya setuju.
Sebaik perbualan itu tamat, Perdana Menteri kemudiannya bergegas pulang.
Terdahulu, Akmal Afif, murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Presint 8 (2) bersama lapan rakannya menantikan Anwar untuk mendapatkan tandatangan daripada Perdana Menteri.
Keterujaan kanak-kanak itu jelas kelihatan apabila Anwar berhenti seketika bertanyakan khabar mereka dan menandatangani wang kertas RM1 dan RM5 dibawa kanak-kanak berkenaan.
Perdana Menteri sebelum itu menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 2,000 jemaah di surau berkenaan.
Yang turut hadir menunaikan solat bersama Perdana Menteri ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar.
Perdana Menteri bersama jemaah mendengar khutbah bertajuk “Memaknakan Kekayaan Dengan Berzakat yang disampaikan Imam Surau Putra Al-Amin Fasa 4, Amirul Aqif Ismail.
Beliau turut meluangkan masa kira-kira setengah jam menjamu selera di perkarangan surau dan beramah mesra dengan jemaah.
Sementara itu, kanak-kanak terbabit ketika ditemui begitu gembira kerana dapat mengajukan soalan kepada Perdana Menteri.
Malah, Akmal Afif memaklumkan dia tidak sabar untuk memberitahu kepada ibunya berkaitan perkara itu.
“Saya tak sabar nak balik, nak beritahu ibu dapat temubual Perdana Menteri,”.
Ditanya apa yang akan dilakukannya dengan wang yang ditandatangani Perdana Menteri, dia berkata akan menyimpan dalam bingkai gambar. – Berita Harian