Anwar tegur ahli politik, penjawat awam
Perbuatan itu amat dipandang serius dan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terbabit.

KUALA LUMPUR 14 Mei – Tanpa jemu, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengingatkan ahli politik, pimpinan peringkat pusat dan penjawat awam supaya tidak menggunakan jawatan atau kedudukan untuk memewahkan diri serta sanak-saudara.
Perdana Menteri menegaskan, perbuatan itu amat dipandang serius dan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terbabit.
Katanya, arahan sudah dikeluarkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat perkara berkenaan mengikut lunas perundangan.
“Soal menjadikan pimpinan di mana peringkat sekali pun sebagai amanah (dan) jangan menggunakan kuasa Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Besar, Ahli Majlis Kerajaan Negeri atau apa pun jawatan untuk memperkayakan diri dan sanak-saudara.
“Ini yang ditekankan mengenai prinsip dalam tata kelola itu sebagai amanah dan tanggungjawab kepada Allah SWT.
“Saya percaya dan minta semua pimpinan di peringkat Persekutuan dan penjawat awam memahami kerana apa yang kita cuba lakukan, ini yang pertama membetulkan ketempangan, salah guna kuasa yang berlaku sehinggakan hampir setiap saluran, setiap projek ada ketirisannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI di Dewan Al Muktafi Billah Shah Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM192 juta bagi kerja-kerja menaik taraf pemecah ombak dan infrastruktur di pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering.
Katanya, projek berkenaan dapat menyelesaikan masalah nelayan terpaksa bergilir-gilir keluar masuk ke pelabuhan terbabit akibat muara yang cetek.
Keadaan itu menyebabkan bot besar tidak dapat memasuki dan berlabuh di pelabuhan LKIM Chendering bagi pendaratan ikan. – Berita Harian