BeritaEkonomi

Anwar umum bantuan Raya RM500 untuk penjawat awam.

Penjawat awam Gred 56 ke bawah akan menerima bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500, umum Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Anwar turut memaklumkan bahawa pesara kerajaan akan menerima bantuan tunai khas sebanyak RM250. Beliau berkata inisiatif ini akan melibatkan perbelanjaan kira-kira RM900 juta oleh kerajaan.

Bantuan tunai tersebut akan mula diagihkan mulai minggu hadapan. Hari pertama Aidilfitri dijangka jatuh pada 31 Mac.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk menyalurkan bantuan khas ini memandangkan perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh mereka yang menyambut perayaan tersebut.

Kementerian itu menyatakan bahawa peluasan sumber hasil Putrajaya melalui penstrukturan semula kewangan negara telah memberi “sedikit ruang kepada Perbendaharaan untuk berkongsi hasil negara secara adil”.

Bantuan khas ini dijangka memberi manfaat kepada lebih dua juta penjawat awam dan pesara kerajaan.

“Kerajaan berharap bantuan ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara, serta mendorong mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut memaklumkan bahawa bayaran bagi Fasa 2 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah diawalkan. STR akan diagihkan kepada sembilan juta penerima bermula Isnin ini.

Sebanyak RM1.7 bilion akan disalurkan bagi tujuan tersebut.

Artikel Berkaitan

Back to top button