Arif bersaing dengan Neymar
Gol pada minit keenam perlawanan yang juga jaringan penyamaan JDT itu menjadi titik tolak kebangkitan skuad kendalian Esteban Solari

KUALA LUMPUR 11 Okt – Selepas disenaraikan dalam kesebelasan pilihan bagi aksi kedua peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL), nama bintang muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus menjadi bualan di peringkat Asia.
Ia selepas jaringannya ketika membantu Harimau Selatan menewaskan BG Pathum United 4-2 di Stadium Pathum Thani, Thailand pada 3 Oktober lalu tersenarai dalam 10 jaringan terbaik bagi aksi kedua peringkat kumpulan kejohanan itu.
Gol pada minit keenam perlawanan yang juga jaringan penyamaan JDT itu menjadi titik tolak kebangkitan skuad kendalian Esteban Solari untuk meraih kemenangan pertama dalam kempen ACL musim ini selepas tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale dalam aksi pertama di gelanggang sendiri.
Berdasarkan situasi jaringan itu terhasil, Arif Aiman berjaya melakukan sentuhan pertama yang kemas selepas menerima hantaran jauh dari pemain pertahanan, Jordi Amat sebelum dia merembat kencang ke gawang BG Pathum United.
Lebih menarik, jaringan yang diledak pemain berusia 21 tahun itu akan bersaing dengan pemain hebat di liga rantau Asia terutama bintang bola sepak dunia dari Brazil, Neymar yang mewakili kelab Arab Saudi, Al Hilal.
Neymar meledak gol kedua Al Hilal pada minit ke-58 ketika pasukannya mengatasi kelab Iran, Nassaji Mazandaran 3-0 di Stadium Azadi, Iran, 4 Oktober lalu.
Selain Neymar, Arif Aiman juga perlu bersaing dengan lapan pemain ternama lain di liga Asia termasuk Moussa Marega yang mewakili Sharjah FC, Ali Jasim (Air Force Club), Jamshid Iskanderov (Navbahor), Talisca (Al Nassr), Rungrath Phumichantuk (Bangkok United), Paul-Jose M’Poku (Incheon United), Aziz Behich (Melbourne City) dan Kento Tachibanada (Kawasaki Frontale).
Peminat bola boleh membuat undian jaringan terbaik bagi aksi kedua peringkat kumpulan saingan ACL di laman web Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). – Berita Harian