Armada BERSATU buat laporan polis MP PN sokong Anwar
Laporan itu dibuat oleh Armada BERSATU, semalam, manakala laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyusul dalam masa terdekat.l

KUALA LUMPUR 14 Nov – Ahli Parlimen pembangkang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), memaklumkan satu laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan wujud unsur habuan, umpan atau ugutan susulan tindakan beberapa Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, laporan itu dibuat oleh Armada BERSATU, semalam, manakala laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyusul dalam masa terdekat.
“Satu laporan polis sudah dibuat oleh ARMADA BERSATU, tengah malam, semalam. Ada yang kata ini cakap-cakap kosong dan fitnah… tidak, kita ada fakta, kita ada kes.
“Laporan susulan kepada SPRM akan dibuat. Selepas ini, kami akan membuat sidang media untuk menjelaskan mengenai laporan polis ini,” katanya yang juga Ketua Armada BERSATU, ketika bangun bertanya soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ketika menjawab soalan asal Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) pada sesi itu, berkata tiada aduan dibuat kepada polis mahupun SPRM berkait dakwaan terbabit.
“Hingga pagi tadi, tiada satu pun aduan polis mahupun SPRM yang dibuat terhadap dakwaan wujud unsur habuan, umpan atau ugutan susulan tindakan beberapa Ahli Parlimen daripada PN menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
“Ugutan… ia membabitkan tugasan polis. Umpan dan habuan termasuk dalam ‘territory’ (bidang kuasa) SPRM. Untuk menjawab pada pagi ini, saya meminta dua agensi itu memberi jawapannya… hingga saat ini, tiada satu pun laporan dibuat,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Onn, Saifuddin Nasution memberi jaminan bahawa polis akan segera membuat siasatan sekiranya terdapat laporan ataupun dakwaan individu, manakala ia boleh dianggap sebagai fitnah terhadap kerajaan sekiranya tidak wujud elemen habuan dan umpan sebagaimana didakwa.
“Pihak agensi penguat kuasa dalam kerajaan, kita sedia untuk bertindak secara profesional bagi menangani sebarang kemungkinan,” katanya.
Empat Ahli Parlimen dari BERSATU iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.
Tindakan itu dikaitkan oleh pemimpin pembangkang sebagai kemungkinan wujudkan perilaku ugutan serta pemberian habuan tertentu. – Xklusif