ARRC: Hafizh Syahrin naik podium menjelang perebutan akhir kejuaraan di Buriram
Pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah daripada pasukan JDT Racing Team kembali memburu kejuaraan selepas meraih kedudukan podium pada Perlumbaan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Pelumba berusia 30 tahun itu yang gagal menaiki podium dalam Perlumbaan 1 pusingan lima semalam, melonjak ke tempat ketiga kategori Asia Superbike 1000cc (ABS1000) dengan catatan masa 25 minit 30.275 saat (s).
Pencapaian itu memastikan perebutan kejuaraan berlarutan hingga ke pusingan terakhir yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada 6 hingga 8 Dis ini.
Pelumba Jepun Yuki Kunii daripada pasukan SDG Team HARC-PRO Honda Ph mendominasi pusingan kelima selepas melengkapkan 12 pusingan dengan masa 25:26.318s.
Pelumba Thailand Nakarin Atiratphuvapat daripada Honda Asia-Dream Racing with Astemo berada di tempat kedua dengan catatan 25:29.138s sementara pelumba negara Azlan Shah Kamaruzaman daripada pasukan TKKR BMW Racing Team menduduki tempat keempat dengan masa 25:36.660s.
Semalam, Hafizh Syahrin terpaksa puas hati dengan tempat kelima pada Perlumbaan 1 berikutan beberapa masalah Yuki muncul sebagai pemenang.
Kini, Yuki mendahului kedudukan kejuaraan dengan 142 mata diikuti pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar daripada Honda Asia-Dream Racing with Astemo (140 mata) dan Hafizh Syahrin (137 mata).
Hafizh Syahrin turut mengucapkan terima kasih kepada pasukannya yang bekerja keras sejak hari pertama untuk memperbaiki prestasi jentera.
“Kami menghadapi masalah cengkaman tayar dan hampir terjatuh beberapa kali semalam. Kami kekal di trek hingga tengah malam untuk mencari penyelesaian.
Kami tahu Honda akan menjadi sangat mantap di Buriram selepas ujian bulan lalu dan kami tiada data perlumbaan terdahulu berbanding pasukan lain.
“Namun, saya sudah melakukan ujian di sana awal tahun ini. Mungkin kami akan pergi lebih awal untuk menyesuaikan diri dengan trek,” kata Hafizh Syahrin, yang isterinya bakal melahirkan anak kedua minggu ini.
Sementara itu, pelumba negara Azroy Hakeem Anuar muncul juara dalam kategori SuperSport 600cc (SS600) dengan catatan masa 22:01.801s, menewaskan dua pelumba Indonesia daripada pasukan Astra Honda Racing Team, Mohamad Adenanta Putra (22:01.890s) dan Veda Ega Pratama (22:02.350s) yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Azroy Hakeem yang beraksi bersama pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing Team mendedikasikan kemenangan itu kepada semua rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia esok.
“Saya sangat kecewa semalam kerana tidak berada di podium (selepas menamatkan saingan di kedudukan keempat), saya mahu bermati-matian untuk dapatkan podium hari ini.
“Untuk kejar kejuaraan keseluruhan di Thailand agak sukar kerana perbezaan mata agak tinggi, matlamat utama adalah membantu pasukan muncul juara keseluruhan,” katanya.
Pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing kini mendahului carta kejuaraan dengan 235 mata, tujuh mata di hadapan Yamaha Tekhne Racing Team Asia (228 mata). – BERNAMA