Asalkan berbaju, datang sekolah walaupun tanpa pakaian seragam – Fadhlina
Kelonggaran itu diberikan sebagai langkah memudahkan ibu bapa terutama mereka terkesan akibat banjir.

KUALA LUMPUR, Mac 15 – Berita baik buat ibu bapa yang menghadapi masalah menyediakan pakaian seragam sekolah kerana kesempitan hidup apabila Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kelonggaran terhadap pemakaian seragam sekolah kepada murid dan pelajar kurang mampu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran itu berkata, kelonggaran itu diberikan sebagai langkah memudahkan ibu bapa terutama mereka terkesan akibat banjir.
“Dalam konteks di Johor misalnya, kita (KPM) beri ruang kepada mereka ini supaya datang ke sekolah walaupun tanpa memakai pakaian seragam.
“Yang penting asalkan berbaju, sebab kita tak nak beban hanya soal baju (seragam) itu, mereka dinafikan daripada pendidikan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Membangunkan Malaysia Madani Sektor Pendidikan di Institut Aminuddin Baki, Bandar Estek di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Fakaruddin Ghazali.
Beliau berkata, berhubung rungutan pakaian kokurikulum atau badan beruniform, kementerian juga bersetuju supaya memakai t-shirt yang menggambarkan sekolah mereka jika ibu bapa tidak mampu untuk menyediakan seragam itu.
“Atau pakaian baju sukan yang sesuai untuk hadir ke sekolah dan mengikuti semua program sekolah, jadi timbul soal kita berkeras dalam soal pakaian seragam, tapi kita bagi ruang.
“Kita bersikap bertolak ansur dalam perkara ini sesuai dengan keadaan kerana sedar dengan kos penyediaan yang tinggi selain masalah banjir yang sebahagian tempat belum pulih sepenuhnya,” katanya.