
Ascend Airways Malaysia, yang kini dalam proses mendapatkan Sijil Pengendali Udara (Air Operator Certificate, AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), merancang untuk memulakan operasinya di negara ini pada suku keempat 2025.
Sebagai syarikat sekutu kepada Ascend Airways UK, syarikat penerbangan ini akan beroperasi di bawah model pajakan Aircraft, Crew, Maintenance, and Insurance (ACMI) secara perniagaan ke perniagaan (B2B), menawarkan penyelesaian kapasiti fleksibel dan jangka pendek kepada syarikat penerbangan tempatan serta serantau.
Seorang wakil Ascend Airways Malaysia memberitahu Bernama bahawa syarikat penerbangan yang akan berpangkalan di KLIA Terminal 1 ini bukanlah syarikat penerbangan komersial dan tidak akan menjual tiket secara langsung kepada penumpang.
Sebaliknya, sumber itu berkata syarikat penerbangan ini akan menumpukan kepada penyediaan pesawat kepada syarikat penerbangan yang memerlukan kapasiti tambahan semasa tempoh permintaan tinggi, sekali gus membantu syarikat penerbangan tempatan dan serantau memenuhi keperluan operasi mereka.
“Memandangkan kami beroperasi di bawah model pajakan B2B ACMI, kami tidak berasaskan destinasi tertentu,” kata wakil syarikat itu.
“Kami boleh mengendalikan pesawat kami di mana-mana sahaja mengikut keperluan operasi pelanggan kami, contohnya di Bangladesh, India atau China.”
Dengan menawarkan perkhidmatan ACMI, Ascend Airways Malaysia bertujuan menyediakan penyelesaian fleksibel dan mengikut permintaan semasa musim puncak, membolehkan rakan kongsi mereka – sama ada Malaysia Airlines, AirAsia atau Batik Air Malaysia – meningkatkan operasi mereka secara efisien tanpa komitmen jangka panjang.
Walaupun pelan armada Ascend Airways Malaysia masih dalam peringkat pemuktamadan, syarikat penerbangan ini telah mengesahkan bahawa ia akan mengendalikan pesawat Boeing bersaiz kecil dan sederhana (narrowbody).
“Kami tidak akan mengumumkan jumlah armada sehingga kami menerima kelulusan AOC daripada CAAM,” kata sumber itu.
Setakat ini, syarikat penerbangan itu telah memperoleh permit perkhidmatan udara bersyarat daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), yang akan tamat tempoh pada 14 November.
Pada 8 Januari, Ascend Airways menyatakan di laman webnya bahawa Ascend Airways Malaysia merancang untuk memulakan operasi ACMI dengan pesawat Boeing 737 Classic sebelum memperluaskan armadanya untuk merangkumi Boeing 737-800NG.
Ascend Airways Malaysia ialah syarikat sekutu kepada Avia Solutions Group, sebuah syarikat berpangkalan di Ireland.
Menurut laman webnya, pensijilan Ascend Airways Malaysia adalah sebahagian daripada strategi Avia Solutions Group untuk meningkatkan penggunaan pesawat semasa perubahan musim dalam permintaan penumpang, sambil meningkatkan kapasiti di rantau Asia secara serentak.